Guest of the Month – Cikgu Samion bin Kassim


Antara misi transformasi pendidikan LeapEd di awal penubuhannya adalah menggerakkan Program Sekolah Amanah (PSA). Bagi menghasilkan impak yang menyeluruh, LeapEd bekerjasama dengan pemimpin sekolah, guru, murid, ibu bapa dan komuniti Sekolah Amanah.

Tanggungjawab memacu transformasi ini digalas bersama Cikgu Samion bin Kassim, mantan Pengetua SMK Semenchu. Beliau menerajui Program Sekolah Amanah (PSA) di SMK Semenchu dari tahun 2011 sehingga 2013. Sempena ulang tahun LeapEd yang ke-11, kami mengimbas kembali pengalaman merintis transformasi pendidikan bersama Cikgu Samion yang kini memegang tampuk pimpinan di SMK Laksamana Kota Tinggi.


Image

Apakah tanggapan pertama mengenai LeapEd?

Mula-mula saya anggap LeapEd ni menyusahkan, mengongkong, semua kena ikut sebab dah ada 4 strategic goal yang kita kena buat. Kemudian 4 strategic goal tu pula ada pecahan-pecahan pencapaian dan KPI yang perlu dicapai. Memang susah.

Sebelum SMK Semenchu, saya ditempatkan di sekolah biasa. Walaupun tak lama, selama 9 bulan, tetapi saya mengurus sekolah mengikut acuan saya. Tetapi apabila saya ditempatkan di SMK Semenchu, saya mendapat environment baru di mana ada satu pihak lagi yang guide kita mengikut kehendak Yayasan AMIR, mengikut kehendak LeapEd. Semuanya diatur mengikut 4 matlamat strategik PSA.

Pada masa itu, kita dibimbing oleh seorang advisor dan advisor saya ialah Kathleen Pratt. Bahasa Inggeris saya pada masa itu tak berapa bagus dan accent advisor saya pekat, jadi saya sangat tertekan. Mungkin accent dia sekarang dah berkurang sebab dah bergaul dengan orang kita tapi masa tu accent Kathy sangat pekat dan dia sangat punctual. Jadi saya rasa amat tertekan.

Jadi untuk menghiburkan hati, saya ingatkan diri sendiri, sebagai Pengetua baru, bekas Timbalan PPD, semua orang akan beri perhatian pada saya, sama ada saya boleh bawa program ini atau tidak. Saya kata pada diri saya, saya kena kuat, saya kena belajar sesuatu dan ambil peluang ini.

Pada peringkat permulaan, saya memang rasa amat tertekan sebab pihak LeapEd ada perancangan strategik, ada roadmap, kemudian perlu capai target. Ditambah dengan tekanan daripada Kathy yang sangat punctual, setiap pagi jam 8 pagi perlu duduk berbincang dengan dia. Jadi saya masa tu memang ikut dulu untuk 2 hingga 3 bulan terawal. Saya dapat rasakan mungkin pengetua sebelum saya tertekan sebab ini, kesukaran kita nak terima suasana yang baru. Selepas 2- 3 bulan, saya dah boleh terima keadaan itu dan saya kata saya kena berubah.

Bila dah dapat sesuaikan diri, baru saya nampak usaha LeapEd sangat bagus kerana LeapEd satu badan professional yang dapat bimbing sekolah. Daripada pengalaman advisor saya, walaupun saya tidak ke luar negara, saya dapat tahu pembelajaran di UK, di Australia. Advisor saya bersilih ganti dari pelbagai negara. Daripada Bahasa Inggeris saya yang tak bagus, saya jadi dapat berkomunikasi dengan baik dengan mereka.

Kemudian kami juga ada advisor PdP. Kami dah jadi macam kawan. Kalau dulu, saya memang sakit hati tengok mereka ni tapi lama-lama kami boleh duduk bersembang bersama.

Sebelum saya berpindah ke sekolah baru, saya sempat mendalami modul kepimpinan fasa dua dan semua modul tu saya masih simpan walaupun sudah tidak terlibat dengan PSA. Pada saya, modul tu sangat bermakna untuk mencapai high quality leadership, macam mana kita nak tingkatkan kualiti PdP, macam mana kita nak bangunkan potensi murid dan akhirnya macam mana kita nak libatkan komuniti untuk bantu sekolah.

Saya bagi thumbs up pada LeapEd.

Bercakap tentang PSA, apakah cabaran utama yang dihadapi pada awal pelaksanaan program di SMK Semenchu?

Semasa saya ditempatkan di SMK Semenchu, PSA telah pun bermula sejak 2010 tetapi perjalanannya ada masalah. Yelah, program baru, semua tidak ada idea tentang pelaksanaan. Kemudian ada campur tangan Yayasan AMIR, LeapEd. Jadi ada salah faham antara pengurusan sekolah, pihak Pengetua, pihak Penolong Kanan, pihak guru, pihak PIBG, pihak kantin. Ada banyak perselisihan faham. Itu yang akhirnya saya rasa sebab saya dipilih ke sekolah. Memang saya rasa satu perkara yang amat mencabar pada masa itu.

Apakah perubahan yang dapat diperhatikan semasa pelaksanaan PSA di SMK Semenchu?

Dalam tempoh 3 tahun saya sempat bersama PSA, saya rasa banyak perubahan di SMK Semenchu. Kalau tadi saya katakan di peringkat awal kita ada bantahan dalam kalangan guru. Guru-guru tak berapa nak beri kerjasama, kemudian pihak ibu bapa juga seperti itu, PIBG. Sehingga melibatkan pihak kantin pun.

Tapi dengan pendedahan dan modul yang diberikan, akhirnya dalam masa 3 tahun saya dapat lihat kita dapat tingkatkan kualiti PdP guru. Kemudian ilmu yang saya dapat untuk diri saya sendiri, adalah untuk mengurus sekolah secara sistematik, untuk berfungsi secara lebih efektif. Kemudian bagaimana untuk menangani isu dengan komuniti dan yang paling bermakna bagi saya adalah membangunkan potensi murid.

Kalau sesiapa yang pernah ke SMK Semenchu, sekolah ini berada di kawasan Felda dan sekolah dihadiri murid Orang Asli dari Kampong Layau. SK Kampong Layau merupakan feeder school SMK Semenchu dan juga merupakan Sekolah Amanah. Jadi apa yang kita dapat lihat, kaedah pengajaran guru menjurus kepada cooperative learning dan collaborative learning dengan aktiviti kelas yang banyak. Jadi murid dari segi kehadiran, suka datang ke sekolah, minat untuk belajar dan yang paling ketara, murid SMK Semenchu, mereka berani bercakap. Saya dapat lihat hasil ini daripada kaedah PdP SMK Semenchu yang berbeza daripada sekolah lain. Dari segi kemenjadian murid, memang berkesan.

Kita juga dapat lihat perubahan cikgu mengajar. Kualiti cikgu bertambah baik, teknik mengajar lebih bagus, aktiviti di dalam kelas bertambah, murid lebih responsif, lebih seronok belajar, lebih petah bercakap, tak malu berhubung, berkomunikasi, ada soalan tanya, boleh bercakap dengan orang luar dan sebagainya. Itu yang saya rasakan amat bagus.

Apakah pengalaman pahit atau manis bersama LeapEd yang tidak dapat dilupakan?

Pengalaman paling manis, apabila saya terpilih di antara calon yang ditemu duga Dato’ Noor Rezan, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan dan pada masa itu, saya baru 7-8 bulan menjadi Pengetua di Kota Tinggi, Johor.  Saya sendiri kurang pasti atas kriteria apa Dato’ pilih dan tempatkan saya di SMK Semenchu. Sebelum ini di PPD, saya mengurus orang selama 11 tahun. Jadi saya anggap pemilihan itu sebagai satu ‘challenge’ untuk Pengetua baru.

Satu lagi kenangan manis saya adalah kemenjadian murid. Saya ada seorang murid di SMK Semenchu, namanya Mohamad Afiq. Di sekolah rendah dia merupakan murid pendidikan khas. Kemudian di SMK Semenchu, dengan pendekatan yang kita gunakan dan bimbingan guru, dia berubah menjadi pelajar yang boleh menguasai, rajin dan bersungguh-sungguh. Apabila saya meninggalkan SMK Semenchu, dia berada di Tingkatan 5. Dia pernah naik ke pentas semasa Trust School Conference sebagai ikon pelajar. Semasa SPM, dia mendapat keputusan yang bagus, melanjutkan pelajaran ke universiti dan sekarang saya rasa mungkin dia dah graduate. Ini kenangan manis saya, bagaimana mengasuh murid yang orang kata tidak berpotensi tinggi akhirnya, dengan pendekatan kita, dia menjadi cemerlang.

Adakah LeapEd membantu untuk mengembangkan bakat dan dan profesion guru?

Apa yang boleh saya katakan adalah pengalaman saya di SMK Semenchu menjadikan saya Pengetua yang lebih berwibawa. Dalam tempoh tiga tahun saya melalui 20 modul fasa 1, fasa 2, ditambah dengan modul PdP lagi, itu bekalan yang orang lain tidak ada. Masa itu, hanya Pengetua Sekolah Amanah saja yang mempunyai pengalaman itu. Maknanya ada 10 orang Pengetua daripada berpuluh ribu Pengetua sekolah yang ada dalam negara. Jadi ilmu itu saya bawa ke SMK Laksamana.

Kalau di SMK Semechu saya ada 4 strategic goals, di SMK Laksmana saya wujudkan 5 strategic goals. Ideanya masih sama, bezanya saya pecahkan kemenjadian murid kepada ko-kurikulum dan sahsiah murid. Kemudian penglibatan komuniti saya terapkan sebagai budaya sekolah. Saya namakan program ini di sekolah sebagai Laksamana Transformation Program (LTP) dan beri tempoh untuk program dilaksanakan sehingga tahun 2021.

Idea dan inspirasi Laksamana Transformation Program (LTP) ini saya ambil dan modified daripada PSA. Saya buat dalam dua fasa. Fasa pertama bermula dari 2015-2017, fasa kedua dari tahun 2018-2021. Saya sediakan roadmap, seperti apa yang saya belajar bersama PSA. Seterusnya kami pecahkan kepada target yang hendak dicapai. Saya ajar guru saya, saya panggil PIBG, tunjuk macam mana nak buat roadmap dan perancangan strategik seperti mana saya dibimbing semasa di SMK Semenchu dulu. Kita buat roadmap sekali di awal tahun dan buat semakan sepanjang tahun, review mengikut traffic light, sama seperti apa yang saya belajar di Sekolah Amanah.

Dalam masa 3 tahun pertama, saya berjaya mengubah kepimpinan sekolah. Saya bentuk leadership dulu supaya rakan-rakan pentadbir saya faham dan boleh approach guru-guru. Seperti di SMK Semenchu, perubahan yang saya cuba laksanakan pada tahun pertama mendapat tentangan daripada guru-guru. Saya rasa seperti orang yang pergi berperang. Dalam pelaporan saya kepada PPD, saya kata saya ada dua pilihan saja dengan pelaksanaan program ini iaitu sama ada saya menang atau pun saya kalah. If I lose, pindahkan saya, tapi kalau saya menang PPD kena sokong saya di SMK Laksamana. Barisan kepimpinan saya cukup mantap. Merekalah yang dapat bantu redakan tentangan daripada guru-guru saya. Kami menang dalam cabaran ini.

Kemudian saya ubah pembelajaran sekolah. Dulu murid saya, gangster. Tingkap sekolah semua pecah-pecah dan macam-macam lagi. Tapi Alhamdulillah, ada perubahan. Saya cuba terapkan Pembelajaran Abad ke-21 seperti kepelbagaian aktiviti dalam kelas dan Subject Based Classroom. Mula-mula guru-guru saya pelik tapi sebab saya ada knowledge dan dah lihat kesannya di SMK Semenchu, kami mulakan sikit demi sedikit.  Saya juga ada panggil guru-guru dan SLT di SMK Semenchu untuk bantu buat in-house training, coaching kepada guru-guru saya. Bila saya dah tambah baik PdP, environment kelas, disiplin murid saya bertambah baik. Akhirnya, keputusan SPM sekolah juga bertambah baik. Result kami dulu duduk di bawah di tangga 18 – 19. Tapi sekarang Alhamdulillah, walaupun bukan tempat pertama, kami berada di ranking top-10 daerah dalam kalangan sekolah sains, sekolah kluster.

Sebab itu saya katakan ilmu yang saya dapat semasa di Sekolah Amanah, tak rugi saya ikut 20 modul. Sehingga saya terima Anugerah Kepimpinan Peringkat Daerah, Anugerah Kepimpinan PAK21 daripada PPD. Semua berkaitan kepimpinan dan Pembelajaran Abad ke-21.

Saya juga pernah bercakap dengan rakan-rakan SLT saya daripada SMK Semenchu. Bagusnya pengalaman Sekolah Amanah ini, kita dapat kongsikan pengalaman dan ilmu-ilmu yang baik dengan sekolah lain. Saya dapat tahu, daripada Sekolah Amanah kohort pertama, kita ada beberapa orang guru SLT yang dah jadi Pengetua. Kita boleh bawa idea transformasi ini dan create environment dengan acuan yang sesuai di sekolah lain.

Jadi bila bercerita tentang Sekolah Amanah, saya sangat bangga kerana saya seperti mendapat pendidikan awal di Sekolah Amanah.

Berikan dua perkataan untuk menggambarkan LeapEd.

Professional kerana LeapEd memang pakar dan berpengetahuan dalam program transformasi pendidikan yang diusahakan.

Sistematik kerana setiap perubahan yang diusahakan ada fasa, perancangan dan semakan.

Pesanan untuk warga pendidik yang akan meneruskan misi mendidik murid dengan cabaran yang berbeza pasca pandemik COVID-19.

Pesanan ini juga adalah peringatan untuk diri saya.  Sebagai guru kita kena terima situasi yang ada. Pada saya, guru ini boleh dikatakan sebagai frontliner. Kita yang mencorakkan negara pada masa hadapan. Suka tak suka, ini situasi yang perlu kita hadapi. Sebagai guru kita kena kuat, semangat kena jitu. Kita kena sesuaikan diri dengan situasi semasa maknanya mengikut perubahan, pelbagaikan kemahiran. Contohnya dulu kita tak terfikir boleh buat meeting dalam talian tapi sekarang dah jadi kebiasaan guna Zoom, Google Meet dan sebagainya. Jadi guru perlu tingkatkan kemahiran dalam teknologi pembelajaran.

Dalam masa yang sama, guru perlu bersedia untuk menyediakan zon selamat untuk murid. Kaedah pembelajaran bersemuka itu adalah yang terbaik tetapi alternatif yang kita ada buat masa ini adalah secara dalam talian. Untuk adakan pembelajaran bersemuka ini, kita perlu biasakan hidup dengan virus ini dan sediakan zon selamat. Sebab inilah saya katakan sebagai guru, kita adalah frontliner untuk perubahan pendidikan kita.


Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Program Sekolah Amanah.