Nur Ain Najiha Binti Ismail – Bekas Pelajar SMK Semenchu, Johor (TSP- TeachSmart)
Nama saya Nur Ain Najiha Binti Ismail. Saya merupakan bekas pelajar SMK Semenchu pada tahun 2013 dan telah melanjutkan pelajaran di SMK Bandar Mas untuk peringkat STPM. Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang pengalaman saya di SMK Semenchu.
Pada awalnya saya tidak berminat dengan kaedah TeachSmart kerana sebelum ini saya telah terbiasa dengan kaedah pembelajaran secara individu. Setelah mendapat sokongan dan dorongan daripada guru-guru, saya berasa seronok dan berminat untuk mengetahui dengan lebih dalam sistem pembelajaran TeachSmart yang diperkenalkan. Saya telah menggunakan kaedah ini semasa saya di Tingkatan 6. Saya telah diberi peluang untuk membentangkan tajuk-tajuk yang ditetapkan oleh guru-guru dengan menggunakan sistem TeachSmart. Dengan kaedah yang saya gunakan ini, saya telah mendapat pujian daripada guru dan telah mendapat sambutan daripada rakan sekelas saya.
Setelah saya menamatkan pengajian di Tingkatan 6, saya telah menggunakan kaedah ini semasa temu duga Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan di USM dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan-pendidikan Khas di UKM. Penemu duga telah berpuas hati dan menyangka saya pernah menjadi guru sandaran kerana kemahiran komunikasi (communication skill) saya yang baik. Saya memberitahu mereka bahawa saya merupakan salah seorang bekas pelajar SMK Semenchu yang terlibat dengan Program Sekolah Amanah. Mereka telah memberikan respons yang amat baik dan mengatakan Sekolah Amanah mampu melahirkan pelajar yang lebih cemerlang.
Harapan saya agar Sekolah Amanah akan terus cemerlang di masa akan datang. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajar dari Tingkatan 1-5 kerana telah membimbing saya menjadi saya yang sekarang. Terima kasih, cikgu!